Perang Dunia Ketiga


Benarkah manusia sudah belajar daripada keruntuhan peradaban dan kemanusiaan selepas dua perang besar dalam sejarah moden dunia? Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua memberikan kemusnahan harta benda dan nyawa yang bukan kecil.

Kedua-dua perang itu juga telah menghapuskan nilai peradaban. Perang sewajarnya memberikan pengajaran supaya manusia tidak mengulanginya. Biarpun perang menjadi satu anjakan bermulanya sejarah baru tetapi perang tidak pernah meninggalkan pengalaman yang manis.

Banyak ahli sejarah menganggap selepas abad ke-20 yang diwarnai dengan dua perang besar, tidak ada lagi perlumbaan memperagakan senjata dalam peperangan pada abad ke-21. Ini kerana manusia sudah belajar dan peradaban baru dijangka mengekang manusia menyelesaikan krisis di hujung senjata. Tetapi jangkaan ini tidak tepat, permulaan abad ke-21 telah dimulakan dengan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.



Serangan yang begitu terancang oleh sekumpulan penyerang dengan menggunakan kapal terbang komersial membuktikan abad ke-21 tidak terlepas daripada peperangan.

Kalau kita menoleh sedekad abad ke-21, “11 September” menjadi titik penting berlakunya perang dan ancaman pengganas pada abad ini. Tindak balas Amerika Syarikat (AS) terhadap serangan menara berkembar WTC menandakan bermulanya perang yang mengorbankan berjuta-juta nyawa. Ia berterusan hingga kini dan mungkin lebih besar daripada Perang Dunia Kedua.

Abad ke-21 ternyata masih dibelenggu trauma perang. Kuasa besar dengan mudah memperagakan “industri perang”. Di Iraq misalnya perlumbaan kecanggihan senjata pembunuh manusia berteknologi diperagakan. Perang Iraq iaitu “Perang Teluk Kedua” berlaku pada Mac 2003 adalah kesinambungan daripada tragedi 11 September 2001. Inilah perang besar abad ke-21 setakat ini sekali gus memperlihatkan kuasa besar semakin tidak bermoral mengambil tindakan ketenteraan atas negara lain yang merdeka.


Perang Iraq juga sangat kompleks apabila AS dengan sekutunya Britain menggunakan lesen untuk memburu pengganas selepas serangan 11 September 2001. Hingga kini perang Iraq terus membara dan api prasangka rakyat tempatan kepada AS sebagai penjajah tidak pernah padam. Perang Iraq kelihatan seolah-olah hilang fokus apabila awalnya hanya mahu memburu pengganas selepas bekas Presiden AS, George W. Bush melabelkan Iraq sebagai paksi kejahatan.

Bush mengaitkan Iraq pimpinan Presiden Saddam Hussein sebagai tempat perlindungan pengganas, kemudian diperkukuhkan lagi dengan tuduhan Iraq mempunyai senjata nuklear. Selepas menghancurkan Iraq seterusnya membunuh Saddam, perang Iraq terus berlangsung. Apa matlamat perang Iraq kepada AS?

Kepada mereka yang tidak berpeluang menyaksikan Perang Dunia Pertama atau Perang Dunia Kedua, perang Iraq menjadi begitu komersial. Ia berlaku ketika ledakan teknologi maklumat menguasai dunia. Ia menjadi isi kandungan paling popular dalam saluran Berita seperti Cable News Network (CNN), British Broadcasting Corporations (BBC), Al-Jazeera dan beberapa lagi. Mereka yang berada pada awal abad ke-21 berpeluang menyaksikan perang lebih dekat dan sangat dramatik berbanding generasi dahulu.



Perang Iraq yang berlaku selepas tindakan ketenteraan AS ke atas Afghanistan memberikan kesan psikologi yang besar kepada masyarakat dunia dengan wujudnya imperialisme media di tangan AS.



AS memperlihatkan kewajaran serangan atas kedua-dua negara ini sebagai pembalasan serangan WTC. Korban serangan WTC pada relatifnya jauh lebih kecil iaitu 2,976 mangsa berbanding perang Iraq dan perang Afghanistan. Mengikut Opinion Research Business Survey, lebih sejuta orang terkorban dalam perang Iraq. Hingga Disember 2007, dianggarkan lebih lima juta anak yatim di Iraq iaitu separuh daripada jumlah kanak-kanak di Iraq.

Daripada perang Iraq juga kita akan mengingati dekad pertama abad ke-21 dengan kejatuhan Saddam, satu-satunya pemimpin di Asia Barat yang berani menentang AS. Maka dalam sejarah moden dunia, perang Iraq dilihat berbeza dengan perang lain kerana motif serangan adalah dendam peribadi Bush kepada Saddam yang menggagalkan misi pemusnah bapanya ketika menjadi Presiden AS dalam Perang Teluk.


Sementara itu pada 2003 juga abad ke-21 digegarkan dengan pembunuhan lebih 50,000 orang awam dan lebih sejuta yang lain menjadi pelarian di Darfur, Sudan. Ini mencetuskan krisis kemanusiaan yang sangat genting di negara yang miskin itu.

Pembunuhan dilakukan oleh militan Arab, Janjaweed ke atas orang kulit hitam. Pecahan etnik di Sudan ialah 52 peratus etnik kulit hitam, 39 peratus Arab, enam peratus Beja dan dua peratus orang asing.

Orang awam dibunuh, wanita dan kanak-kanak diperkosa. Sementara Presiden Omar Al Bashir pula bukanlah seorang pemimpin yang baik. Dia merampas kuasa, memerintah dengan kuku besi dan menggunakan militan Arab untuk mencetuskan huru-hara di Darfur.

Bekas Speaker Parlimen Sudan, Hassan Al Tarubi mempunyai pengaruh yang hebat cuba merampas kuasa daripada Omar Al Bashir. Orang awam yang dikorbankan di Darfur adalah kesan sengketa politik dan strategi untuk melumpuhkan musuh politik apabila Darfur menjadi medan perang.


Bagaimanapun pertelingkahan etnik di Darfur sebenarnya bukan perkara baru. Malah bukan saja Darfur, Sudan sendiri mencatatkan rekod perang saudara yang paling panjang iaitu 17 tahun. Tetapi krisis politik yang melibatkan militan Arab, Janjaweed, ia membuka laluan kepada kuasa besar menjadi dalang yang mengeksploitasi keadaan runcing ini. Media dan aktivis hak asasi manusia khususnya di AS dengan tiba-tiba menjadi begitu “manusia” dan memperjuangkan kemanusiaan.

Darfur yang terletak di selatan Sudan adalah kawasan yang subur dan kaya dengan hasil minyak. Darfur mengikut sejarah adalah sebuah negara Islam yang total tetapi menyertai Sudan pada 1916. Bagi politik dalaman, Darfur menjadi kebimbangan Omar Al Bashir. Lalu membawa penglibatan Arab untuk menghalau rakyat ke Chad yang bersempadan dengan Sudan.

Kerana itu sejak awal tahun 2003, Darfur meninggalkan mimpi yang paling ngeri kepada penghuninya. Krisis politik dalaman Sudan memang buruk. Dua kelompok pemberontak utama Sudan, Tentera Pembebasan Sudan (SLA) dan Pergerakan Keadilan dan Kesaksamaan (JEM) menjadi musuh rejim pemerintah. Sementara militan Arab pula difahamkan mahu membalas dendam terhadap kumpulan etnik Afrika yang berkulit hitam.

Ironiknya Majlis Keselamatan PBB bertindak sangat pantas dengan memberi tempoh 30 hari kepada rejim Omar Al Bashir untuk mengamankan Darfur. Penglibatan Majlis Keselamatan PBB dalam krisis di Darfur mempunyai helah untuk memberi laluan kepada AS dan Britain ke Sudan khususnya Darfur yang kaya dengan hasil bumi.

Dekad pertama ini juga diwarnai dengan perang Somalia yang meletus pada 2006 dan berakhir pada awal tahun ini. Sepanjang krisis berlangsung dianggarkan lebih 25,000 orang awam menjadi korban. Ini juga cerita perang di sebuah negara kecil lagi miskin yang menjadi percaturan kuasa besar seperti AS. Pelbagai puak dan fahaman politik di Somalia tanpa disedari telah dipergunakan oleh pihak luar untuk mencetuskan haru hara dan Somalia kini hanya diingati dengan kemiskinan dan perang saudara.






Kita juga mungkin tidak melupakan perang Gaza akibat serangan tentera Israel ke atas penempatan Palestin di semenanjung Gaza selama sebulan mulai Disember 2008. Ada pihak menganggap ini bukan peperangan kerana tentera Israel yang mempunyai kelengkapan tentera menyerang pejuang Hamas yang tidak mempunyai senjata yang cukup.

Serangan kejam ini mengorbankan tidak kurang 1,400 orang awam Palestin. Perang Gaza diibaratkan menyerang sebuah penjara apabila Gaza dikepung oleh tembok batu buatan Israel dan menutup pintu kepada dunia. Semasa perang Gaza, Palestin terperangkap dan bantuan makanan serta perubatan banyak yang musnah apabila Mesir menutup sempadan dengan Palestin.




Perang Gaza mengakibatkan lebih 400,000 penduduk Gaza hidup tanpa air bersih sementara lebih 4,000 rumah musnah akibat peluru berpandu Israel dan lebih sepuluh ribu orang awam kehilangan tempat tinggal.

Ini hanya sejumlah kecil daripada sekian banyak perang yang meletus sepanjang sedekad abad baru ini. Banyak kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa membuktikan perang tidak pernah menyelesaikan masalah, sebaliknya banyak menimbulkan masalah. Adakah meletusnya perang pada abad ke-21 menunjukkan abad ini juga dipenuhi dengan manusia yang hilang peradaban dan mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi? Semoga selepas ini tidak ada lagi catatan tentang perang pada abad ke-21.

Comments